(Go: >> BACK << -|- >> HOME <<)

CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2359|Reply: 0

Isuzu D-Max facelift 2024 dilancar

[Copy link]
Post time 18-5-2024 05:54 PM | Show all posts |Read mode


Walaupun baru sahaja menerima penyegaran tahun lalu, ini tidak menghalang untuk Isuzu memperkenalkan satu lagi versi facelift bagi trak pikap D-Max – ini dia Isuzu D-Max facelift 2024 secara rasmi dilancarkan di Malaysia! Kemaskini kali ini bukan hanya melibatkan rombakan dilakukan di bahagian luaran dan dalaman, malah ia turut membabitkan peningkatan pada bahagian mekanikal serta kebolehannya meredah laluan off-road.

D-Max 2024 masih kekal ditawarkan dalam bentuk badan Single Cab dengan pilihan enjin turbo diesel 3.0L dan 1.9L (kedua-duanya diberikan sistem 4X4 dan hanya kotak gear manual) serta bentuk badan Double Cab bermula varian asas Standard 1.9L 4X4 AT dan MT, diikuti varian 1.9L 4X2 Auto Plus (hanya AT), varian pertengahan 1.9L 4X4 AT Premium dan 3.0L 4X4 AT Premium, dan varian paling tinggi 3.0L 4X4 AT X-Terrain.

Untuk bahagian luaran, model kemaskini 2024 ini menyaksikan kesemua varian menerima rekaan bampar baharu dengan elemen bar untuk gril atas direka lebih ringkas, manakala gril bawah pula kini tampil dengan elemen rekaan sarang lebah.

Lampu hadapan juga hadir dengan kluster baharu di mana bahagian bawahnya ‘disikat’ ke atas, manakala grafik lampu nyalaan siang LED kini dialih ke atas berbanding di bawah sebelum ini. Manakala perumah lampu kabus pada bahagian sisi bampar kini turut menampilkan tirai udara bagi mengalirkan udara masuk ke ruang roda hadapan bagi mendapatkan kesan aerodinamik lebih baik.




Model kemaskini ini turut menampilkan rekaan rim baharu bagi varian-varian yang menerima set 18-inci (X-Terrain menerima rim dalam kemasan hitam) dan juga grafik LED baharu bagi lampu kombinasi belakang serta pintu tailgate belakang yang direka semula.

Untuk pilihan warna badan, model tertinggi X-Terrain diberikan pilihan warna baharu Namibu Orange Mica, bersama pilihan Islay Gray, Onyx Black dan Dolomite Pearl, sementara varian Premium ditambah dengan pilihan warna Mercury Silver. Manakala varian Auto Plus dan Standard AT turut diberikan pilihan warna sama seperti Premium, kecuali untuk rona putih ia diganti dengan warna Splash White.

Bagi model Standard dengan kotak gear manual, ia hanya ditawarkan dalam warna Onyx Black, Mercury Silver dan Splash White, sementara varian dengan badan Single Cab pula semuanya hanya datang dengan pilihan warna badań Splash White.

Khas untuk varian X-Terrain, ia menerima rel bumbung, cermin sisi, pembuka pintu dan tailgate, panel di bampar hadapan, pemijak sisi dan overfender dalam kemasan kelabu gelap, bersama kemasan skid plate bawah bampar hadapan berwarna perak.



Perincian lain masih lagi kekal dengan lampu halogen bersama fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang jenis mentol diberikan pada semua varian Single Cab dan Standard MT, manakala lampu Bi-LED diberikan pada model Standard AT dan Auto Plus. Lampu nyalaan siang LED pula diberikan bermula pada varian Auto Plus dan ke atas. Model Premium dan X-Terrain diberikan lampu hadapan projektor Bi-LED Automatik.

Di sebelah dalam, X-Terrain kini menerima panel paparan meter digital e-LUMAX dengan skrin berwarna TFT tujuh-inci, skrin infotainmen baharu bersaiz 10-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta diberikan fungsi pengaktifan suara “Hi D-Max”, dan lapan pembesar suara. Varian Premium turut menerima fungsi sistem infotainmen yang sama tetapi dengan skrin sembilan-inci, dan kedua-duanya menerima lapan pembesar suara.

Bagi varian Auto Plus ia juga menerima skrin infotainmen sembilan-inci yang sama tetapi dengan hubungan MirrorLink, Miracast, Apple CarPlay, Android Auto yang masih menggunakan sambungan wayar serta enam pembesar suara. Varian Standard pula diberikan pemain CD 2-DIN dengan enam pembesar suara, manakala model Single Cab hanya diberikan pemain audio 1-DIN dengan hubungan Bluetooth dan USB bersama dua pembesar suara.

Anda juga boleh lihat beberapa kemasan yang telah direka semula untuk model 2024 seperti pada pad hon pada stereng, tempat duduk, kemasan sekeliling skrin infotainmen, dan juga kemasan paling atas papan pemuka.

Untuk upholsteri, kedua-dua model paling tinggi iaitu X-Terrain dan Premium datang dengan upholsteri kulit serba hitam. D-Max 2024 ini juga kini menampilkan kemasan rekaan ‘Miura’, iaitu rekaan paralellogram diinspirasikan dari seni origami Jepun yang boleh ditemui pada papan pemuka dan panel pintu.

Bagi model X-Terrain, warna gelap berkenaan turut diserlahkan panel kemasan Cafe Brown dan Satin Silver pada papan pemuka dan pintu, serta serlahan-serlahan jahitan benang perang termasuk pada roda stereng serta sarung tuil gear dan brek tangan. Selain itu, varian ini juga diberikan lampu selamat datang yang dipancarkan ke permukaan tanah apabila pintu dibuka serta lampu suasana kabin yang dipertingkat dan boleh dipilih dengan tujuh pilihan warna.

Pengecas pantas tanpa wayar 15W kekal diberikan pada varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus. Manakala port USB Type C 2.1A pula diberikan pada varian X-Terrain dan Premium, yang kini turut ditampilkan untuk pengecas penumpang belakang. Kamera perakam video digital (DVR) hadapan dan belakang masih diberikan secara standard untuk X-Terrain, manakala varian Premium kini datang standard dengan DVR hadapan.

Untuk penghawa dingin pula, model Single Cab, Standard dan Auto Plus diberikan sistem jenis manual, disertakan dengan liang kabin belakang untuk model empat pintu. Manakala varian Premium dan X-Terrain pula diberikan penghawa dingin automatik dua-zon. Jika sebelum ini hanya X-Terrain diberikan tempat duduk larasan kuasa untuk pemandu, bagi versi kemaskini 2024 ini perincian tersebut turut diberikan pada varian Premium.



Untuk unit rangkaian kuasa, kini semua enjin yang ditawarkan pada Isuzu D-Max sudahpun dikemaskini dengan mencapai piawaian emisi Euro 4 dengan penambahan diesel particulate filter (DPF), namun masih mengekalkan angka kuasa yang sama. Semua model dengan enjin 1.9L dijana oleh unit RZ4E-TC turbodiesel common-rail empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork maksima 350 Nm. Manakala model dengan enjin 3.0L pula masih menerima unit 4JJ3 turbodiesel empat-silinder berkuasa 190 PS dan tork maksima 450 Nm.

Tiada perubahan untuk kotak gear enam-kelajuan manual dan automatik, dan ia masih dipadankan dengan sistem pacuan empat roda yang boleh dipilih antara mod 2H, 4H dan 4L hanya dengan memutarkan suis pilihan. Jika sebelum ini Isuzu sudahpun memberikan unit diff-lock di gandar belakang untuk semua varian bagi memberikan keupayaan off-road yang lebih baik, kini ia lebih sempurna dengan kehadiran fungsi Rough Terrain Mode baharu, namun ia hanya dipadankan pada varian X-Terrain dan Premium.

Rough Terrain Mode ini berfungsi untuk memindahkan tork dari roda yang langsung tiada traction seperti terperangkap dalam lumpur atau pasir, kepada roda yang masih mempunyai tork. Ia boleh berfungsi tidak kira dalam mod 2H, 4H atau 4L, dan ia tersedia pada roda hadapan dan belakang serta boleh berfungsi dalam semua kelajuan.

Secara standard, semua varian D-Max 2023 diberikan sistem keselamatan seperti brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, isyarat berhenti kecemasan dan pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk.




Kini varian X-Terrain diberikan tujuh-beg udara, manakala Premium pula enam-beg udara, dan kedua-duanya dilengkapi dengan kamera pemantau 360-darjah, manakala varian lain kekal dengan hanya dua beg-udara. Bagi kamera pemantau 360-darjah tersebut, ia kini telah diperbaharui dengan memberikan lebih banyak sudut termasuk mod invisible, bantuan garis parkir lebih baik serta suis pengaktifan yang kini sudah berlampu.

Kedua-dua varian ini juga datang standard dengan sistem pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang, dan ia kini turut datang dengan fungsi brek kecemasan automatik di belakang.

Bagi varian X-Terrain sebelum ini ia sudahpun menerima sistam bantuan pemanduan (ADAS) termasuk amaran perlanggaran depan, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal dan bantuan selekoh.

Manakala bagi versi 2024 ini, sistem ini dipertingkat di mana kamera stereo generasi keempat yang dipadankan pada cermin hadapan. Kamera berkenaan kini boleh mengimbas pandangan mendatar pada sudut 120 darjah berbanding hanya 40 darjah sebelum ini, dan mengesan kenderaan hadapan pada jarak 150 meter berbanding 120 meter sebelum ini. Selain memberikan pengesanan yang lebih awal dengan imbasan yang lebih luas dan jauh, kamera ini juga mempunyai fungsi anti-kabus.




Dengan semua pembaharuan ini, Isuzu D-Max 2024 dijual pada harga bermula RM98,949.20 untuk model Single Cab 1.9L 4X4 MT, diikuti RM105,888.40 untuk model Single Cab 3.0L 4X4 MT. Model Double Cab pula bermula RM109,599.20 bagi model 1.9L 4X4 MT Standard, RM116,999.20 untuk model 3.0L 4X4 AT Standard. Satu-satunya model pacuan dua roda iaitu 1.9L 4X2 Auto Plus dijual pada harga RM109,499.20.

Bagi model 1.9L 4X4 Premium AT dijual pada harga RM134,646.20, dan varian 3.0L 4X4 AT pula berharga RM141,138.40. Akhir sekali varian tertinggi 3.0L 4X4 At X-Terrain dijual pada harga RM157,938.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, untuk Semenanjung Malaysia.

Bagi varian X-Terrain, ia masih menawarkan waranti selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, manakala varian lain kekal dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km.

https://paultan.org/2024/05/14/i ... -adas-dipertingkat/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-6-2024 06:02 PM GMT+8 , Processed in 0.588608 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list